Anisah Binti Azhar (MIC180006)

Jalinan Masyarakat GIG1005
Esei Reflektif
Anisah Binti Azhar (MIC180006)      29 MAC 2020

Saya sentiasa mengagumi kehebatan matapelajaran Mikrobiologi. Bagi saya, tanpa subjek tersebut, seluruh hidupan bumi sangat mudah untuk terdedah kepada penyakit. Selain itu, kita juga akan menghadapi kesukaran untuk menyembuhkan penyakit dengan kadar yang cepat dan efektif. Saya sangat teruja sewaktu seorang pensyarah Mikrobiologi yang bernama Dr.Puah datang untuk memberi taklimat kepada seluruh pelajar Tahun Pertama dan Tahun Kedua mengenai projek Jalinan Masyarakat yang bakal diadakan pada Semester II. Projek tersebut berkait rapat dengan subjek Mikrobiologi dan Genetik iaitu Pemprofilan DNA (DNA Fingerprinting) dan Pengekstrakan DNA (DNA Extraction. Pada pendapat saya, projek ini sangat menarik di samping dapat memupuk semangat inovasi dalam kalangan pelajar.

Pelaksanaan projek ini memberi peluang kepada saya untuk berkongsi ilmu serta pengalaman semasa mentelaah ilmu sains bioperubatan. Seterusnya, projek ini membuka minda para pelajar sekolah dengan mendedahkan mereka kepada sesuatu dengan lebih mendalam agar mereka dapat mengetahui apa yang bakal mereka akan hadapi semasa berada di universiti kelak, sekiranya mereka mengambil bidang sains.

Projek ini sedikit sebanyak memerlukan tenaga fizikal dan mental yang kuat, memandangkan banyak masa yang diambil untuk menjalankan aktiviti ini. Terdapat beberapa proses yang diambil kira untuk menjayakan program tersebut, antaranya ialah menjalankan bengkel (internal workshop), membeli peralatan dan hadiah, menguruskan hal ehwal kewangan dan logistik dan lain-lain. Setiap fasilitator yang bertugas telah bertungkus lumus untuk mencari idea supaya pelajar yang menyertai aktiviti tersebut berasa tertarik dan selesa dengan interaksi yang diterapkan. Saya berasa sangat bangga melihat rakan-rakan seperjuangan bekerjasama untuk memastikan projek ini berjaya dan memberi impak positif kepada sesiapa sahaja yang terlibat walaupun kami mempunyai kesempitan dari segi kewangan, masa dan tenaga.

Kami telah diarahkan untuk mengunjungi SMK (P) Sri Aman pada 28 Februari 2020 untuk memulakan aktiviti pengekstrakan DNA. Kumpulan saya telah menghulurkan bantuan sepenuhnya dari setiap segi kepada kumpulan 2 yang diketuai oleh Jin Kiak kerana kami tidak ditugaskan untuk menguruskan agenda pada hari tersebut. Bilangan pelajar sekolah yang terlibat melebihi bilangan fasilitator, jadi saya menolong rakan saya yang lain untuk mendemostrasikan aktiviti tersebut secara sukarela. Saya berasa sungguh teruja dan berpuas hati apabila saya menerima beberapa anggukan daripada pelajar yang menandakan mereka memahami apa yang diajar. Walaupun pada mulanya mereka berasa penat dan kurang bermaya disebabkan hari sudah petang, kumpulan 2 berjaya mencari jalan untuk menyampaikan pembentangan secara ringkas tentang DNA. Sebuah kuiz juga diadakan berdasarkan pembentangan tersebut untuk mencergaskan pelajar. Melihat mereka gigih mencatat nota dan mengingati semula apa yang disampaikan membuatkan saya tersenyum ceria. Penat tidak bermakna lagi sekiranya kita berasa seronok dengan apa yang kita kerjakan.

Selepas pembentangan berakhir, para pelajar diarahkan untuk mempraktikkan semula apa yang telah didemonstrasikan. Setiap fasilitator telah diagihkan kepada beberapa kumpulan dan kami sedaya upaya membimbing para pelajar dengan betul untuk mengelakkan sebarang malapetaka daripada menimpa. Semua pelajar mendapat peluang untuk berada dalam gambar-gambar yang diambil sepanjang projek ini dijalankan. Projek ini diselang-selikan dengan gelak ketawa dan pertanyaan soalan tidak kira di luar subjek mahupun yang berkaitan dengannya. Tidak terungkap bahagia yang terpancar daripada semua orang yang terlibat termaksuklah beberapa pensyarah yang terlibat seperti Dr Chai dan Dr Puah.

Projek ini diakhiri dengan kuiz dan penyampaian hadiah kepada pemenang. Sewaktu ini, para pelajar sangat produktif dan aktif kerana mereka sangat mahukan hadiah yang kami telah bawakan. Kami mempunyai kesukaran untuk memilih pelajar untuk menjawab soalan kerana terdapat banyak tangan diangkat semasa kami mengira sehingga tiga. Hal ini membuatkan saya kagum dengan keyakinan mereka dalam mempelajari sesuatu walaupun ia sangat ringkas. Kepentingan menuntut sesuatu ilmu perlu dititikberatkan tidak kira usia, bangsa dan agama. Penglibatan aktif para pelajar dalam projek ini menyedarkan saya bahawa saya juga perlu bersungguh-sungguh semasa belajar dan membuat amali di makmal. Ribuan terima kasih saya ingin ucapkan kepada Dr Puah, Dr Chai, Dr Kee dan rakan seperjuangan kerana telah menggembleng tenaga dan meletakkan kepercayaan yang tidak terungkap tingginya atas diri masing-masing dalam menjayakan projek ini.


(627 patah perkataan)

Comments

Popular posts from this blog

SMK LEMBAH SUBANG PART 1

D-Day Aktiviti di SMK (P) Sri Aman

Social Engagement Videos