Mas-Azlindah-Ayu binti Abd Karim (MIC190057)
GIG1005 SOCIAL ENGAGEMENT
Reflective Writing
Mas-Azlindah-Ayu binti Abd Karim (MIC190057) 13 Mac 2020
Salam sejahtera bismillah sebagai pembuka bicara. Peluang dua kali yang diberikan kepada saya bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain sebagai pelajar Sains Bioperubatan Universiti Malaya bersama sama 27 orang rakan-rakan seperjuangan yang lain merupakan salah satu pengalaman serta penghargaan buat saya. Selaku pelajar tahun pertama di universiti yang gah ini, saya berasa sangat terharu kerana telah diberikan peluang untuk mengendalikan aktiviti jalinan masyarakat ini seperti mana yang turut dilakukan oleh pelajar tahun kedua. Segala kenangan yang manisnya lebih banyak dari pahitnya itu akan disemat elok di dalam hati, sebagai memori dan pengajaran buat saya di masa hadapan nanti.
Pertama-tama sekali, jutaan terima kasih diucapkan kepada semua rakan-rakan seperjuangan yang berpenat lelah menjalankan program Jalinan Kemasyarakatan ini serta tidak pernah dilupakan, barisan tenaga pengajar iaitu pensyarah- pensyarah yang diketuai Dr Puah Suat Moi yang terlalu banyak memberikan tunjuk ajar kepada kami. Daripada perancangan aktiviti sehinggalah ke tamatnya segala aktiviti, Dr yang bermandi peluh dalam memberikan yang terbaik buat kami.
Sebelum bengkel dijalankan
Justeru, peribahasa melayu “ikan lagi di laut, lada garam sudah di sengkalan” merupakan ayat yang tepat untuk menjelaskan perancangan dan perjalanan aktiviti kami sepanjang program jalinan kemasyarakatan ini berlangsung. Manakan tidaknya, semester pertama kami di tahun satu belum pun melabuhkan tirainya, namun Dr Puah telahpun mengambil langkah yang pantas dengan mengadakan satu perjumpaan bersama kami para pelajar pada 5 Disember 2019 untuk memberikan penerangan yang mendalam berkenaan subjek ‘Social Engangement’ berkod GIG1005 ini. Perjumpaan tersebut telah melibatkan pelajar tahun satu dan tahun dua di jabatan kami. Saya dan rakan-rakan yang lain telah didedahkan dengan lengkap tentang peranan yang perlu kami mainkan dan modul-modul yang akan kami lakukan sepanjang semester kedua. Pada hari yang sama, senarai kumpulan telah disebarkan dalam kalangan kami dimana kami dibahagikan kepada tiga kumpulan sama rata pelajarnya (satu kumpulan bagi pelajar tahun kedua dan dua kumpulan bagi pelajar tahun pertama). Bukan itu sahaja, kami juga berinteraksi bersama pensyarah melalui emel semasa cuti semester sedang berlangsung bagi memastikan perancangan dilakukan dengan begitu teliti untuk membolehkan program ini berjalan lancar.
Tidak ada program yang tidak ada aral yang melintang. Begitu juga dengan program kami. Bengkel pertama kami yang sepatutnya berlangsung pada 22 Februari 2020 telahpun dibatalkan dek penangguhan sesi pengajaran akibat wabak Corona Virus yang kian menular. Namun begitu, bengkel tersebut masih berjalan dengan jayanya pada 29 Februari 2020. Bengkel telahpun berlangsung di Bilik Seminar di Jabatan Sains Bioperubatan Fakulti Perubatan Universiti Malaya dan kami telah didedahkan dengan modul berkaitan DNA yang akan kami bawakan kepada pelajar sekolah target kami. Pada hari kejadian, kami pelajar dari kumpulan satu tahun satu telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Kami dikehendaki untuk menjalankan eksperimen pengekstrakkan DNA menggunakan sel pipi dan buah-buahan. Bahan-bahan yang lengkap seperti sabun, garam, dan alkohol bersama radas kertas turas, plastik jernih, sudu pelbagai saiz dan klip kertas telah pun disediakan. Selain itu, kami turut melakukan gimik ‘Gel Electrophoresis’ menggunakan kertas mahjung dan kertas warna beserta turutan nukleotida bercetak.
Semasa bengkel dijalankan
Tanggal 6 Mac 2020, tibalah masanya untuk kami menterjemahkan setiap input yang kami perolehi semasa bengkel kepada para pelajar. Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Subang merupakan sekolah yang menjadi pilihan kami. Pelajar Tingkatan 4 Perniagaan telah terlibat dalam program ini diiringi oleh guru matapelajaran Sains, Cikgu Elleana. Segala penat lelah kami telah terbalas dengan reaksi dan kerjasama yang diberikan oleh pelajar-perlajar tersebut. Program bermula seawal 9 pagi dengan pengenalan program dan fasilitator kepada pelajar. Seterusnya, sesi seminar oleh tiga orang fasilitator yang membawakan tajuk “The Secret Of Life” telah dijalankan bagi memperkenalkan serba sedikit mengenai DNA ( Deoxyribonucleic Acid). Struktur dan proses yang melibatkan DNA telah diperkenalkan. Kemudian, pelajar SMKLS telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk aktiviti ‘Hands On’ dimana mereka diminta untuk mengekstrak DNA dari sel pipi masing-masing secara individu dan buah-buahan secara berkumpulan. Bahan-bahan dan prosedur yang sama seperti bengkel yang kami hadiri berlaku dengan amat baik sekali dengan kersama yang diberikan pihak sekolah. Sepanjang bengkel, mereka dibenarkan rehat selama 20 minit. Akhir sekali, kuiz telah dijalankan berkenaan aktiviti tersebut dan telah mendapat maklumbalas yang amat positif.
Bengkel ini tidak terhenti pada hari tersebut sahaja apabila kami meneruskan jalinan masyarakat ini pada 13 Mac 2020 di sekolah yang sama. Seminar bertajuk “DNA Fingerprinting” telah disampaikan oleh tiga pelajar dalam kalangan kami dimana aplikasi Polymerase Chain Reaction,PCR dan DNA Fingerprinting telah dijelaskan secara ringkas dan padat. Selepas pelajar dibenarkan rehat, dua aktiviti secara berkumpulan telah dijalankan dimana para pelajar diminta untuk menjejaki pencuri Limburger Cheese milik Permaisuri yang hilang. Kedua-dua aplikasi PCR dan DNA Fingerprinting telah dijayakan dan suspek turut dijumpai setiap pelajar. Aktiviti kuiz dilaksanakan dan hadiah ganjaran telah diberikan kepada pelajar yang aktif. Borang soal selidik turut diisi pelajar sebelum bengkel berakhir dengan penyampaian hadiah kepada guru SMKLS dari pihak kami dan kepada pensyarah kami sendiri oleh pihak sekolah.Bengkel berakhir dengan jayanya pada jam 1230 tengahari bagi membolehkan pelajar balik tepat pada waktunya.
Selepas bengkel dijalankan
Kami meneruskan baki bengkel ini dengan menyediakan laporan refleksi diri, laporan modul kumpulan dan video sepanjang bengkel dijalankan. Akhir kalam, kami berasa berat hati untuk meninggalkan pelajar-pelajar yang memberikan kerjasama yang jitu kepada kami namun, kami akui perpisahan sentiasa berlaku dalam kehidupan. Kami harapkan setiap pelajar dapat menimba sebanyak jua ilmu yang kami turunkan sepanjang dua hari program berlangsung. Setiap apa yang baik, diharapkan dapat saya bersama rakan-rakan ulangi untuk masa hadapan manakala setiap apa yang buruk harapnya dapat kami jadikan tauladan untuk menjadi fasilitator atau pengurus program yang lebih baik nanti. Pengalaman berharga ini akan saya jadikan sebagai salah satu permata sepanjang pengajian kami di Universiti Malaya, aamin In Sha Allah. Sekian, terima kasih.
928 words
Comments
Post a Comment