Nur Alia Najwa bt Mohd Zamry (MIC190034)

GIG1005 SOCIAL ENGAGEMENT

REFLECTIVE ESSAY: MICROBES AND HYGIENE 

Nur Alia Najwa bt Mohd Zamry (MIC190034)           17 April 2020

Menurut Albert Einstein, ‘Ilmu tanpa agama adalah kepincangan, agama tanpa pengetahuan adalah kebutaan’. Menurut kata-kata mutiara ini, dapat saya rumuskan bahawa ilmu merupakan tunjang utama dalam mengatur kehidupan manusia. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyelia subjek Jalinan Masyarakat iaitu Dr Puah Suat Moi yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dan pelajar-pelajar lain sepanjang aktiviti ini dijalankan.

SEBELUM
         Pada akhir semester satu, semua pelajar tahun 1 dan tahun 2 telah menghadiri perjumpaan yang diadakan oleh Dr Puah berkenaan subjek Jalinan Masyarakat. Dr Puah memberikan penjelasan lanjut mengenai subjek ini serta modul yang akan dilaksanakan sepanjang semester dua. Pelajar tahun 1 telah dibahagikan kepada dua kumpulan yang terdiri daripada 27 ahli. Pelajar tahun 2 juga dibahagikan kepada dua kumpulan. Setiap kumpulan diberi tugas untuk menyediakan modul yang berbeza untuk sekolah yang berbeza. Saya sebagai ahli kumpulan dua tahun satu perlu menyediakan modul ‘The Secret of Life: DNA’. Setiap ahli kumpulan diberi kerja masing-masing; menyediakan slaid, tinjauan dan kuiz. Dapat dilihat bahawa aspek komunikasi dan kerjasama berjalan dengan lancar kerana setiap ahli saling bantu-membantu bagai aur dengan tebing walaupun mempunyai jadual harian yang padat.

         Pada 13 Mac 2020, bengkel pertama dijalankan di Bilik Seminar, Jabatan Sains Bioperubatan yang dikendalikan oleh Dr Puah. Melalui bengkel ini, kami diberi penjelasan mengenai modul yang akan kami bawa ke SMK Sri Pantai iaitu ‘Microbes and Hygiene’. Ketika saya melangkah masuk Bilik Seminar, Dr Puah memberi saya sekotak air soya melon dan biskut yang membuatkan rasa gementar saya beransur hilang. Pada mulanya, kami perlu berpasangan dan diberi tugas untuk memasang mikroskop DIY yang boleh digunakan untuk melihat bakteria tanpa menggunakan kuasa elektrik. Seterusnya, beberapa eksperimen menarik telah dijalankan seperti mengukur jarak kuman yang disebarkan semasa batuk atau bersin apabila ditapis menggunakan tangan dan tisu. Melalui aktiviti ini, saya sedar akan kepentingan amalan bersin dan batuk dengan betul kerana kita berupaya menyebarkan kuman kepada masyarakat sekeliling. Seterusnya, kami menggunakan belon yang hadir dalam pelbagai bentuk untuk membuat mikrob seperti Campylobacter Jejuni. Eksperimen terakhir yang dijalankan ialah cara membasuh tangan dengan betul. Bahan yang digunakan ialah serbuk yang boleh menyinar di bawah cahaya UV. Dapat saya rumuskan bahawa mencuci tangan dengan betul dapat menghindarkan penyebaran kuman apabila bersentuhan dengan seseorang. Sepanjang bengkel berlangsung, setiap ahli menunjukkan minat dalam mempelajari ilmu yang berguna dalam kehidupan harian.

SEMASA
          Malang tak berbau, aktiviti yang dijadualkan pada 3 April 2020 dan 10 April 2020 di SMK Sri Pantai terpaksa dibatalkan bagi mematuhi arahan kerajaan sepanjang Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pengisytiharan tersebut dilakukan oleh perdana menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Bin Hj. Mohd. Yassin untuk membendung penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan penduduk dunia pada masa kini. Sehingga hari ini, lebih 50 kes kematian yang berlaku di Malaysia akibat daripada penyakit berjangkit ini. Pergerakan rakyat menjadi terbatas malah banyak aktiviti yang perlu ditangguhkan sehingga penyakit pandemik ini semakin beransur pulih.

         Walaubagaimanapun, kami tidak berputus asa dalam mendedahkan modul ‘Microbes and Hygiene’ kepada pelajar sekolah berkenaan. Kumpulan kami diberi tugasan untuk merakam video dan menyediakan poster berkenaan cara-cara mencuci tangan dengan betul. Kami juga perlu menyediakan poster lain yang mempunyai info berkenaan COVID-19 dan menyediakan soal selidik untuk mengetahui pendedahan masyarakat terhadap penjagaan kebersihan. Video dan poster yang telah siap akan disiarkan di blog bagi memberi kemudahan untuk pelajar mencari maklumat. Secara jujurnya, saya berasa agak terkilan kerana hanya kumpulan kami tidak sempat pergi ke sekolah yang ditetapkan setelah kami mengorbankan masa, wang dan tenaga dalam membuat persiapan yang lengkap namun kita hanya mampu merancang dan Tuhan yang menentukan.

SELEPAS
        Akhir sekali, kami perlu menyediakan laporan refleksi diri dan laporan mengenai modul yang dijalankan. Sepanjang aktiviti ini berlangsung, pelbagai aspek yang baik berjaya dilaksanakan. Subjek Jalinan Masyarakat penting dalam meningkatkan kemahiran-kemahiran berguna seperti kemahiran berkomunikasi dan bersosial. Selain itu, pelajar diberi peluang untuk bekerjasama dalam menjayakan aktiviti kerana berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Saya ingin mengucapkan rasa syukur dan terima kasih buat rakan-rakan yang sentiasa membantu tanpa kira waktu serta buat Dr Puah Suat Moi yang banyak mengorbankan tenaga, waktu dan wang beliau bagi mematikan semuanya berjalan dengan lancar.

(681 patah perkataan)

Comments

Popular posts from this blog

SMK LEMBAH SUBANG PART 1

Social Engagement Videos

D-Day Aktiviti di SMK (P) Sri Aman