Nurul Angelyn Binti Zulhairy Liong (MIC180033)

GIG1005 SOCIAL ENGAGEMENT/JALINAN MASYARAKAT
Reflective Writing
Nurul Angelyn binti Zulhairy Liong (MIC180033)                                             22 MAC 2020

        Pada akhir Semester I Sesi 2019/2020, semua pelajar Tahun Pertama dan Tahun Kedua telah diminta untuk berkumpul bagi sesi taklimat daripada Dr. Puah mengenai kursus Jalinan Masyarakat yang akan dijalankan pada Semester II. Setelah mendapat tahu bahawa kami akan mengadakan aktiviti mengenai tajuk-tajuk genetik dan mikrobiologi yang telah kami pelajari sebelum ini di beberapa buah sekolah menengah, saya berasa sangat teruja untuk bertemu dengan mereka.  Pada pendapat saya, peluang yang diberikan kepada kami untuk berkongsi ilmu kepada para pelajar di sekolah menengah merupakan sesuatu yang amat bernilai. Hal ini kerana peluang ini bukan sahaja mampu memberi pendedahan awal kepada para pelajar tersebut tentang topik Sains yang bakal dipelajari di universiti kelak, malah aktiviti ini juga boleh menarik minat mereka untuk lebih mencintai subjek Sains serta menggalakkan mereka untuk menyambung pelajaran di peringkat universiti sekiranya disampaikan dengan cara yang betul. Walau bagaimanapun, pada mulanya, saya berasa ragu-ragu sekiranya kami semua dapat menjalankan tugas dengan baik memandangkan jadual Semester II yang agak padat. Saya juga risau kami akan berasa janggal kerana kami tidak biasa untuk berinteraksi dengan pelajar sekolah menengah yang lebih muda atau jika mereka tidak tertarik untuk menyertai aktiviti yang dijalankan.

Namun begitu, pandangan saya terhadap diri sendiri, rakan-rakan serta para pelajar sekolah menengah itu semua ternyata salah. Saya sungguh bangga dengan rakan-rakan saya kerana walaupun kami diminta untuk menyiapkan pembentangan, kuiz, blog dan kertas kaji selidik bagi modul tertentu semasa cuti semester, setiap tugas dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan. Kami semua diminta untuk menghadirkan diri ke internal workshop pada 26 Februari 2020 untuk mempelajari tentang pengekstrakan DNA (DNA extraction) bagi menyiapkan diri masing-masing sebelum dapat menyampaikan ilmu tersebut kepada para pelajar SMK (P) Sri Aman. Walaupun kami agak letih pada waktu itu kerana sudah petang, namun kami semua sangat seronok mempelajari cara mengekstrak DNA daripada buah-buahan dan sel kami sendiri. Tambahan pula, semua rakan-rakan saya turut menunjukkan kerjasama yang baik dan saling membantu antara satu sama lain. Bimbingan dari Dr Puah juga banyak membantu saya untuk memahami topik tersebut dengan lebih baik.

Semasa hari melawat ke SMK (P) Sri Aman pada 28 Februari 2020, saya berasa agak gementar walaupun kumpulan saya hanyalah diminta untuk membantu kumpulan 2 yang diketuai oleh Jin Kiak. Pada hari tersebut, saya telah diminta untuk mengambil gambar dan video sepanjang aktiviti dijalankan. Pada mulanya, semasa sesi pembentangan ringkas mengenai DNA, para pelajar SMK (P) Sri Aman kelihatan kurang bermaya. Hal ini mungkin kerana hari sudah petang dan mereka agak letih dan mengantuk. Namun begitu, Syafiqah dan Rajwa telah menyampaikan pembentangan dengan baik dan banyak bertanya soalan supaya mereka lebih cerdas dan cergas. Dalam masa yang sama, saya turut berasa bangga kerana melihat sesetengah pelajar gigih menyalin nota tentang apa yang disampaikan. Semangat mereka untuk belajar walaupun kepenatan itu menyentuh hati saya.

Kemudian, kami meneruskan aktiviti dengan menjalankan eksperimen untuk mengekstrak DNA. Setiap pelajar tahun dua telah ditugaskan kepada kumpulan pelajar yang berbeza supaya mereka boleh menunjukkan demostrasi sambil membimbing para pelajar. Anne dan Amir Hamzah telah melakukan tugas yang baik untuk menerangkan langkah-langkah mengekstrak sel pipi dan sel buah-buahan kepada para pelajar. Setiap pelajar diberi peluang untuk melibatkan diri dan melalui pandangan kamera saya, mereka semua kelihatan gembira dan seronok untuk mempelajari sesuatu yang baru. Semasa sesi ini, para pelajar kelihatan lebih fokus. Mereka juga kerap bertanya soalan dan saya telah mencuba sebaik mungkin untuk menjawab setiap persoalan mereka. Senyuman, tawa dan kegigihan mereka semasa melakukan aktiviti itu telah saya rakamkan menggunakan kamera untuk tujuan pendokumentasian.
                 
Kami akhiri sesi pada hari tersebut dengan memberikan kuiz kepada mereka. Saya sungguh kagum dan terkejut melihat betapa semangatnya mereka semua untuk menjawab soalan-soalan kuiz yang ditujukan. Untuk setiap soalan, hampir semua pelajar akan mengangkat tangan untuk cuba menjawab. Pada waktu itu, terdetik di fikiran saya, betapa jauhnya perbezaan antara mereka dan saya semasa di dalam kelas. Saya sentiasa berasa malu untuk menjawab soalan semasa pensyarah bertanya. Kesungguhan mereka menyedarkan saya bahawa kami perlu sentiasa mencuba. Walau bagaimanapun, sedikit masalah telah berlaku semasa sesi kuiz dijalankan. Terdapat beberapa soalan kuiz yang mempunyai jawapan yang salah. Memandangkan soalan itu disediakan oleh rakan-rakan tahun pertama, kami sepatutnya memeriksa soalan-soalan itu terlebih dahulu untuk memastikan tiada kesalahan.

Pada akhir sesi ini, banyak perkara baru yang saya belajar. Di samping mendapat peluang untuk menggilap bakat saya dalam mengambil gambar, merekod video, menyediakan dan menulis blog, saya juga sedar akan kepentingan menuntut ilmu. Para pelajar sekolah ini menyedarkan saya bahawa saya perlu lebih bersungguh-sungguh semasa sesi pembelajaran di kelas dan semasa menjalankkan praktikal di makmal. Saya juga amat berterima kasih kepada Dr Puah yang bertungkus-lumus membimbing dan paling banyak membantu meringankan beban kami, serta mempercayai kami semua untuk menjalankan aktiviti ini, dan juga kepada rakan-rakan saya yang menjayakan aktiviti ini. Tanpa kerjasama yang baik daripada semua pihak, sudah tentu aktiviti ini tidak dapat dijayakan.

(791 patah perkataan)



Comments

Popular posts from this blog

SMK LEMBAH SUBANG PART 1

D-Day Aktiviti di SMK (P) Sri Aman

Social Engagement Videos