NOR ZULIYANA BINTI ZAMZURI (MIC180028)
NOR ZULIYANA BINTI ZAMZURI
MIC180028
Ilmu pengetahuan perlu dikongsi bersama, diturunkan kepada generasi muda agar mereka mengetahui apa yang menanti mereka kelak. Ia boleh dijadikan senjata ibarat serampang dua mata yang mampu memberi persediaan kepada mereka tentang realiti sebenar . Dewasa ini, terdapat jurang antara generasi Y dan generasi Z yang menyebabkan mereka tidak dapat pendedahan yang sebenar dan hanya bergantung kepada media sosial dan media massa. Dengan program seperti Jalinan Masyarakat, jurang ini dapat dirapatkan dan penyampaian ilmu dapat dilaksanakan.
Sebenarnya, tanpa berselindung, pada permulaannya, saya memang tidak sabar untuk melaksanakan program-program di bawah Program Jalinan Masyarakat. Tidak sabar untuk melihat wajah-wajah ceria pelajar-pelajar. Saya mengakui agak terkilan dengan situasi semasa yang menyebabkan kami tidak dapat mengadakan program-program yang bermanfaat dengan sekolah-sekolah.
Kerjasama antara ahli-ahli pasukan amat penting dalam menjayakan program ini. Alhamdulillah, saya berasa amat berpuas hati dengan ahli-ahli pasukan. Masing-masing memahami gerak kerja masing-masing dan tiada pertelingkahan yang terjadi antara kami. Hal ini mungkin kerana ketua kami, Ooi Jin Kiak banyak memainkan peranan penting dalam menyampaikan setiap maklumat-maklumat berkaitan dengan program ini. Dengan sikap beliau yang tenang dan tidak mengarah-arah, membuatkan kami senang untuk berkerjasama sebagai satu pasukan dan setiap masalah mampu diselesaikan.
Sebagai individu yang berada di alam universiti, saya berbesar hati untuk memberi sedikit sebanyak ilmu dan keseronokan menerusi topik Sains yang menyuntik perasaan ingin tahu dalam setiap pelajar-pelajar yang akan menghadiri program kami. Jika ingin mengimbau memori ketika saya berada di sekolah, Sains merupakan subjek kegemaran saya dan saya memahami keterujaan pelajar-pelajar apabila mereka sendiri melakukan eksperimen berpandukan arahan kami. Saya ingat lagi, dahulunya, saya berasa agak terkilan kerana tidak dapat melakukan eksperimen secara sendiri dan sentiasa diperhatikan oleh guru saya. Jadi, dengan kolaborasi ‘instructor’ dan kawan-kawan saya, kami berjaya mengadakan program ini dan pelajar dapat melakukan eksperimen dengan pelajar-pelajar lain tanpa terlalu banyak bantuan dari kami.
Walaupun terdapat sedikit masalah ketika kami melaksanakan program tersebut, setiap ahli pasukan cuba untuk menyelesaikannya. Apa yang terjadi adalah, kami mengadakan kuiz dan setiap pelajar yang berjaya menjawab akan mendapat hadiah. Tetapi kuiz yang telah disediakan oleh pasukan lain untuk kami mempunyai beberapa kesalahan jawapan dan ahli pasukan kami yang menjadi pengacara pada ketika itu memberikan jawapan yang betul dan bukan berdasarkan jawapan yang telah disediakan. Walaupun pada ketika itu, saya sedikit gelabah dan risau akan pandangan pelajar terhadap program ini, tetapi tindakan pantas dari ahli pasukan kami telah menyelamatkan keadaan. Oleh itu, kami sedar bahawa setiap maklumat-maklumat dan bahan media perlu diteliti dahulu dan membuat latihan dan persediaan sebelum program bermula.
Saya ingin menekankan lagi sekali bahawa melihat wajah pelajar-pelajar ini berseri-seri bersemangat untuk menuntut ilmu membuatkan saya berasa puas dan gembira. Sebelum kami menamatkan sesi tersebut, kami ada mengedarkan kertas soal selidik pendapat mereka tentang program pada hari tersebut. Respon yang diberikan amat memberangsangkan dan kami sedar, setiap titik peluh kami terbayar dengan membaca kata-kata semangat dari mereka.
Program Jalinan Masyarakat merupakan medium yang terbaik untuk memupuk sifat empati, kerjasama, prihatin. Bagi saya, program ini telah memupuk jiwa saya untuk lebih terbuka dan sentiasa memikirkan bahawa setiap ahli-ahli pasukan penting dalam menjayakan sesuatu program. Kita boleh menggunakan kelebihan masing-masing demi menjayakan program ini.
(513 patah perkataan)
Comments
Post a Comment