Nur Adlina Athirah binti Mohd Azhar (MIC190032)
GIG 1005 JALINAN MASYARAKAT
Esei Refleksi
Nur Adlina Athirah binti Mohd Azhar (MIC190032) - Kumpulan 1 28 April 2020
Pada pertemuan pertama para pelajar Tahun pertama dan kedua bersama Dr Puah untuk penerangan mengenai subjek Jalinan Masyarakat, saya tidak begitu tertarik dengan subjek ini kerana bagi saya ia hanyalah subjek yang perlu diambil untuk memenuhkan jam kredit saya pada semester kedua. Saya juga agak ragu-ragu dengan program Jalinan Masyarakat yang bakal dianjurkan kerana ini merupakan kali pertama kami pelajar tahun pertama digabungkan dengan tahun kedua untuk bersama-sama menjayakan program ini. Namun, saya tidak berminat untuk berfikir mengenai program ini dan bercadang untuk hanya mengikuti arahan yang bakal diberikan. Namun, segalanya berubah kerana saya telah dilantik untuk menjadi ketua kumpulan 1. Pada awalnya, saya sangat berat hati kerana pelantikan ini bukan atas kehendak saya sendiri namun saya tetap merelakannya.
Apabila giliran kumpulan kami sudah hampir tiba, saya agak gementar untuk mendepaninya tetapi dengan segala penjelasan dan bantuan dari Dr Puah, segalanya berjalan dengan mudah sekali. Sebagai ketua, saya telah membahagi tugas-tugas kepada ahli kumpulan saya. Saya juga mengambil pertimbangan dan pendapat mereka untuk menambah baik cadangan sedia ada. Secara jujurnya, saya kurang gemar memberi arahan kepada rakan sebaya kerana ianya agak kurang selesa, tetapi rakan rakan saya semuanya berfikiran terbuka dan sangat mudah memberi kerjasama. Sebelum hari sebenar program, kami dilatih terlebih dahulu oleh pensyarah dan segelintir pelajar Tahun kedua. Persediaan tersebut sangat berguna kerana ia banyak membantu kami untuk melancarkan segala tugasan pada hari sebenar.
Setelah menjalani latihan, saya mula berasa yakin dengan kemampuan diri dan rakan-rakan. Segala persiapan terakhir dilakukan bersama-sama termasuklah membeli hadiah, menyunting soalan kuiz dan latihan pembentangan. Pada hari kejadian, jam 8.00 pagi, kami bertolak ke SMK Lembah Subang. Kami diberikan taklimat ringkas sebelum memulakan aktiviti oleh Dr.Puah. Aktiviti pada hari itu dimulakan dengan sesi perkenalan para pelajar SMK Lembah Subang dengan kami, para fasilitator. Tanpa melengahkan masa, aktiviti diteruskan dengan pembentangan bertajuk “Secret Life of DNA”. Semasa pembentangan berlangsung, saya baru mendapat maklumat bahawa para pelajar tersebut bukanlah pelajar aliran Sains jadi mereka kurang pengetahuan mengenai terma-terma yang digunakan. Melihat kepada reaksi mereka, jelas mereka tidak mendapat input semasa pembentangan. Jadi, saya mengambil inisiatif untuk menghentikan pembentangan tersebut dan menjelaskan bahawa sesi pada hari tersebut adalah bebas, jadi mereka boleh mengangkat tangan untuk bertanya soalan atau meminta penjelasan lebih lanjut daripada para fasilitator yang ditugaskan di setiap meja.
Cara ini mengubah reaksi para pelajar, mereka kelihatan lebih berminat untuk belajar kerana para fasilitator membantu mereka secara lebih dekat dan jelas. Begitu juga dengan sesi pembentangan “DNA Fingerprinting”. Kami akui sesi kedua ini lebih sukar jadi saya telah memberi peringatan kepada para pembentang untuk memudahkan huraian dan membantu para pelajar untuk sekurang-kurangnya memahami konsep yang cuba disampaikan. Tidak ketinggalan sesi “Hands-on” yang mendapat sambutan para pelajar. Oleh sebab para pelajar ini bukanlah terdiri daripada pelajar aliran Sains, jadi mereka sangat teruja untuk menjalankan eksperimen Sains. Eksperimen dijalankan oleh para pelajar dibantu dan dipantau oleh para fasilitator. Saya juga mengambil inisiatif tambahan untuk mengingatkan para fasilitator untuk sentiasa menerangkan kepentingan setiap langkah dalam eksperimen kepada para pelajar supaya pelajar bukan sahaja belajar melalui pembentangan semata-mata, namun dapat diaplikasikan dalam eksperimen.
Sesi yang turut disertakan dalam program Jalinan Masyarakat ialah sesi kuiz. Kami menjalankan sesi kuiz untuk menguji kefahaman para pelajar tentang tajuk yang mereka pelajari. Untuk membuatkan sesi tersebut lebih menarik dan mendapat sambutan, kami menawarkan hadiah kepada para pelajar yang berjaya menjawab soalan dengan betul dan tepat. Para fasilitator turut bersemangat menyokong para pelajar untuk menjawab soalan. Begitu juga para pelajar yang berlumba-lumba untuk menjawab soalan kuiz yang diajukan. Saya, secara jujurnya berasa gembira dan lega apabila melihat sambutan yang para pelajar berikan semasa sesi kuiz, ia membuktikan bahawa mereka mendapat input melalui sesi pembentangan dan “Hands-on”.
Melalui program Jalinan Masyarakat ini, kami diberikan peluang untuk menguji diri dan mengasah kemahiran kami untuk berinteraksi dengan masyarakat. Saya sedar bahawa kemenjadian seseorang itu bukanlah diukur dengan kejayaan dalam pemeriksaan semata-mata, bahkan kami memerlukan kemahiran dalam pengurusan dan berinterkasi. Tanpa program ini, mungkin saya akan masih ragu-ragu dengan kebolehan saya dan rakan-rakan untuk mengendalikan sesebuah program. Tidak dilupakan juga, kami menjadi mesra dengan para pelajar yang baru sahaja kami kenali, ini membuktikan bahawa kami dapat berkemunikasi dan berinteraksi dengan berkesan dengan para pelajar walaupun terdapat perbezaan umur. Akhir kata, terima kasih kepada Dr Puah, terutamanya, dan para pensyarah lain. Sesungguhnya, banyak kebaikan dan kelebihan yang dapat saya raih melalui program ini. Sekiranya diberikan peluang untuk menjalankan program seperti ini di masa hadapan, saya tidak akan ragu-ragu untuk menyertainya.
( 731 patah perkataan )
Comments
Post a Comment