SARA IZZATI BINTI MOHAMAD EISA (MIC190044)

SOCIAL ENGAGEMENT
REFLECTIVE ESSAY: MICROBES AND HYGIENE
SARA IZZATI BINTI MOHAMAD EISA (MIC190044)                                   30 MAC 2020
Assalammualaikum dan selamat sejahtera. Terima kasih kerana memberi saya peluang untuk membuat laporan refleksi diri tentang tajuk ‘Microbes and Hygiene’. Jutaan terima kasih juga kepada pensyarah subjek Jalinan Masyarakat saya iaitu Dr Puah Suat Moi yang bersama-sama berganding bahu untuk menjayakan aktiviti ini.

SEBELUM

       Projek ini telah dimulakan dengan lebih awal supaya kami sentiasa bersedia. Hal ini memudahkan kami untuk mengatur rancangan dengan lebih teliti untuk aktiviti yang bakal diadakan. Pada 5 Disember, akhir sem 1, pensyarah kami iaitu Dr Puah Suat Moi telah mengadakan perjumpaan untuk menerangkan lebih lanjut tentang subjek Jalinan Masyarakat yang akan kami ambil pada sem seterusnya dan modul yang perlu kami lakukan sepanjang sem 2. Perjumpaan tersebut dihadiri oleh pelajar tahun 1 dan tahun 2 seramai 91 orang. Penerangan yang diberikan amat jelas dan kami berasa gembira kerana kami akan melakukan aktiviti di luar kampus. Bukan itu sahaja, kami juga dibahagikan kepada 4 kumpulan dan setiap kumpulan akan megadakan aktiviti masing-masing disekolah yang telah ditetapkan. Dengan adanya kumpulan-kumpulan ini, pembahagian kerja akan menjadi lebih teratur. Kami juga berhubung bersama pensyarah melalui emel agar modul dapat disiapkan sebelum sem seterusnya bermula.

       Bengkel pertama yang diadakan adalah pada 13 Mac 2020 pada jam 3 hingga 5 petang bertempat di Bilik Seminar, Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya. Kami sekumpulan seramai 27 orang terlibat dalam bengkel ini. Kami didedahkan tentang modul ‘Microbes and Hygiene’ yang akan kami bawakan kepada pelajar sekolah SMK Sri Pantai. Kami dikehendaki melakukan beberapa eksperimen seperti mengukur jarak kuman apabila kita bersin atau batuk tanpa menutup mulut ataupun menggunakan beberapa helai tisu. Bukan itu sahaja, kami juga belajar memasang mikroskop DIY untuk dibawa ke sekolah target kami dan melakukan cara-cara membasuh tangan dengan berkesan bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti kuman atau mendedahkan kuman terhadap orang sekeliling. Terdapat banyak lagi aktiviti menarik seperti meniup belon pelbagai bentuk, melihat kuman dibawah cahaya UV dan sebagainya. Bahan-bahan yang akan dibawa telah disediakan dengan lengkap agar semua yang dirancang berjalan dengan teratur. Berdasarkan aktiviti-aktiviti yang kami lakukan, kami juga telah mempelajari sesuatu yang baharu dan secara tidak langsung, kami dapat mengeratkan hubungan dan meningkatkan persefahaman antara satu sama lain. Bukan itu sahaja, aktiviti tersebut juga menguatkan lagi asas pengetahuan kami.

SEMASA

         Malangnya, aktiviti kami di SMK Seri Pantai pada tarikh 3 April 2020 dan 10 April 2020 terpaksa dibatalkan kerana kerajaan telah mengeluarkan arahan supaya semua rakyat Malaysia mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang telah ditetapkan. Hal ini kerana, telah berlaku penularan wabak COVID-19 di seluruh negara. Sehingga hari ini, terdapat 65 jumlah kematian telah berlaku disebabkan penularan jangkitan Corona Virus ini. Pergerakan juga telah terbatas dan banyak aktiviti terpaksa ditangguhkan. Semua pihak bertungkus lumus memainkan peranan masing-masing untuk memutuskan rangkaian wabak ini.

         Namun, kami tidak berputus asa dan tetap berusaha untuk memberikan pendedahan modul kami kepada pelajar-pelajar yang terlibat. Kami mengambil langkah baharu dengan membuat video mengenai cara-cara membasuh tangan dengan betul. Bukan itu sahaja, kami juga berhempas pulas membuat dua poster berkaitan teknik membasuh tangan dengan efektif dan beberapa maklumat tentang COVID 19 yang berlaku di negara kita. Akhir sekali, kami membuat survey terhadap pelajar-pelajar Sains Bioperubatan tahun pertama sehingga tahun akhir untuk mengetahui pendedahan mereka tentang ‘Microbes and Hygiene’. Video dan poster yang kami lakukan akan diletakkan di dalam blog SMK Sri Pantai. Kami sangat berharap agar mesej-mesej yang cuba disampaikan dapat difahami dan memberikan impak yang besar kepada mereka. Jujurnya, kami berasa sedih kerana kami telah membuat persiapan yang banyak tetapi apakan daya, keadaan tidak mengizinkan.

SELEPAS

        Kami meneruskan tugas kami dengan menyediakan laporan refleksi diri dan laporan modul kumpulan. Kami berharap agar semua pelajar yang terlibat dapat menggunakan info yang diberikan. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan ini berlagsung, kita hendaklah sentiasa menjaga diri daripada terkena jangkitan wabak COVID 19 yang semakin menular dari hari ke hari ini. Beberapa langkah pencegahan boleh dilakukan seperti kekalkan jarak sosial di tempat awam sejarak 1 meter, menutup mulut jika batuk atau bersin, elakkan berkongsi barangan peribadi dan yang paling penting, kerap mencuci tangan. Jika terdapat simptom-simptom seperti demam, batuk dan susah untuk bernafas, segera ke hospital untuk menjalani beberapa saringan.

        Kita, sebagai rakyat Malaysia, kita hendaklah mematuhi arahan yang telah ditetapkan dan sentiasa duduk di rumah. Lakukan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat agar kita semua sentiasa menjalani hari-hari yang produktif sepanjang perintah kawalan ini berlangsung dan luangkan masa sebanyak mungkin bersama orang yang tersayang. Gunakan masa dengan bijak kerana masa itu emas dan jagalah kebersihan diri agar kita semua dihindari penyakit yang tidak diingini. Kami berharap info-info berguna yang telah kami sampaikan meningkatkan lagi kesedaran semua tentang bahayanya penyakit COVID 19 ini. Wabak ini dapat dihapus jika rakyat mempunyai kesedaran dan memainkan peranan masing-masing.


Sekian, terima kasih.


(785 perkataan)



Comments

Popular posts from this blog

SMK LEMBAH SUBANG PART 1

D-Day Aktiviti di SMK (P) Sri Aman

Social Engagement Videos